Rundingan Baling 1

Terdetik hati ini untuk mempamerkan artikel mengenai rundingan baling. Artikel ini di ambil dari berita harian.

Pemimpin PKM itu tunjuk sikap angkuh mahu ideologi komunis diiktiraf

SEMINGGU lalu, genap 54 tahun peristiwa bersejarah Rundingan Baling 1955 yang diadakan selama dua hari pada 28 dan 29 Disember 1955 bertempat di Baling English School atau nama barunya, Sekolah Rendah Kebangsaan Tunku Putra (SRKTP).

Rundingan khas atau 'Baling Talk 55' antara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng itu antara usaha menuntut keamanan, menghentikan pertumpahan darah, kekejaman dan kezaliman ke atas rakyat.


Proses rundingan di daerah pedalaman Kedah itu juga boleh dianggap antara usaha terakhir kerajaan meyakinkan British bahawa anak tempatan layak memerintah negara sendiri dan bersedia menuntut kemerdekaan.

Buktinya, beberapa hari hari selepas pertemuan bersejarah itu berlangsung, Tunku terus berangkat ke London meneruskan pula rundingan kemerdekaan dengan British.

Namun, Rundingan Baling dikatakan gagal - puncanya cukup mudah, iaitu kerana sikap ego, degil serta keengganan Chin Peng menerima keamanan, tidak sanggup menyerah diri dan memilih pertumpahan darah sebagai saluran perjuangannya

Sepanjang rundingan, Chin Peng sudah memperlihatkan sikap tidak percayakan sesiapa, sedangkan kerajaan bersusah payah menjayakan proses itu serta gencatan senjata bagi memastikan pertemuan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Sedikit suntingan catatan Setiausaha Peribadi Tunku, Tan Sri Shafie Abdullah yang menyertai rundingan itu dan catatan wartawan, Harry Miller, memperlihatkan belang sebenar Chin Peng, tetapi maklumat berkenaan sebenarnya jarang dihebahkan.

Catatan berbunyi: "Pada petang 28 Disember 1955, masuklah Tunku bersama Encik David Marshall (Ketua Menteri Singapura), Encik Hamid Jumat, Datuk (Sir) Tan Cheng Lock, Encik Yaacob Latiff, Encik Too Joon Hing, Encik TH Tan dan Tuan Syed Jaafar Albar ke bilik rundingan.

Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin dibawa masuk ke bilik rundingan melalui jalan belakang, iaitu dari rumah penginapan mereka oleh Encik John LH Davis (Pegawai Daerah Butterworth). Chin Peng duduk bertentangan dengan Tunku dan diapit Rashid dan Chin Tien

Sebaik saja duduk, Chin Peng terus memperlihatkan sikap curiga, memerhati keadaan sekeliling seolah-olah tidak percaya jaminan keselamatan yang dijanjikan kerajaan. Chin Peng curiga melihat sesuatu yang dilekatkan pada siling bilik rundingan.

Tunku menjelaskan, ia sebenarnya perakam suara untuk merekodkan butiran perbincangan dan meminta Chin Peng supaya yakin, bahkan membenarkan beliau sendiri memeriksa alat itu jika tidak berpuas hati.

Chin Peng bangun, diikuti Chen Tien lalu memeriksa bilik sebelah dan sekeliling tempat rundingan. Selepas berpuas hati, barulah mereka kembali semula ke kerusi rundingan."

Sikap tidak percaya dan curiga itu berterusan hinggalah tamat rundingan hari pertama. Chin Peng dan rakannya disediakan sebuah bilik tidur di bangunan bersebelahan tempat rundingan. Asal bangunan itu adalah rumah guru dan kini dijadikan galeri pameran.

Individu yang bertanggungjawab menyediakan kemudahan buat pemimpin PKM itu ialah Jaafar Ismail, 83, tukang kebun sekolah yang bertanggungjawab menyiapkan keperluan rundingan, termasuk makanan dan minuman Chin Peng.

Membahasakan dirinya sebagai Pak Lang, Jaafar berkata, Chin Peng turut curiga dengan kemudahan yang disediakan di tempat penginapan dan langsung 'tidak menikmati' apa yang diterimanya.

"Saya diarahkan British supaya menyediakan bilik tidur, menyiapkan makanan dan minuman mereka. Sebuah bilik kecil mempunyai dua katil, siap dengan meja kecil untuk meletak makanan.

"Tetapi, sepanjang dua hari (rundingan), mereka langsung tak sentuh makanan. Langsung tak terusik, bila saya masuk selepas rundingan, keadaannya sama seperti asal. Ada yang kata, mereka takut makanan itu diracun," katanya.

Ketika diberi amanat penting itu, Pak Lang yang berasal dari Kampung Seberang Pekan, Baling, menyediakan roti, susu dan minuman yang semuanya diletakkan dalam bekas tin bertutup.

Anak jati Baling ini juga hairan bagaimana pemimpin PKM itu boleh bertahan dua hari tanpa makan dan minum. Terdetik dalam hatinya, jika beginilah keadaannya, rundingan pasti gagal kerana Chin Peng langsung tidak percayakan sesiapa.

Memang benar telahan itu kerana ketika rundingan tiba di penghujungnya pada hari kedua, Chin Peng sekali lagi memperlihatkan keangkuhannya untuk meneruskan ideologi komunis tetapi mahu memastikan kerajaan Tanah Melayu dan Singapura berkuasa penuh mengawal urusan pertahanan negara.

Chin Peng berjanji akan menghentikan peperangan serta merta jika syarat itu dipenuhi, lalu Tunku menjelaskan satu daripada sebab beliau ke England ialah untuk mendapatkan kuasa mengawal sendiri keselamatan dalam negeri.

Namun, Chin Peng menegaskan, meletak senjata bukan maksudnya menyerah senjata kepada kerajaan, keputusan yang kononnya hanya akan diambil mereka sekiranya PKM diakui dan kebebasan mereka tidak lagi disekat.

Sikap angkuh itu ditamatkan dengan kata-kata Chin Peng: "Berdamai ertinya menyerah diri. Menyerah diri ertinya satu penghinaan. Kami tidak akan menyerah diri tetapi akan berjuang sampai ke titisan darah terakhir".

Dengan tegas, Tunku membalas: "Kalau saudara tidak mahu menyerah kalah, kami juga tidak sanggup menerima saudara sekalian menjadi rakyat negeri ini. Kalau keamanan hendak dicapai dalam negeri ini, salah satu pihak daripada kita mesti menyerah.

"Saya tidak sanggup membiarkan Malaya menjadi seperti Korea atau Vietnam. Saya sendiri tidak akan menyerah, sebab itu saudaralah yang mesti menyerah diri," katanya.

Rundingan berakhir begitu saja disebabkan sikap Chin Peng yang angkuh, sedangkan pada pandangan Tunku, tempoh sehari sudah memadai untuk menyelesaikan rundingan.

Namun, Bapa Kemerdekaan ini sanggup memberi ruang dan peluang mendengar penjelasan Chin Peng hingga ke hari kedua, tetapi proses itu tetap juga menemui jalan buntu.

entry kemudian akan aku masukan pula info lain mengenai rundingan baling.
hayati sejarah Malaysia
Hidupkan 1 Malaysia
sumber: Berita harian

Comments